Read the English version here.

Dengan sokongan dari ahli WITNESS ASIA-PACIFIC.

Di Malaysia, sekumpulan wanita Orang Asli telah dengan kuat memperjuang untuk memperkasakan perwakilan wanita Orang Asli dalam masyarakat Malaysia. Sebagai kumpulan minoriti di Malaysia, mereka sering menghadapi rampasan dan pencerobohan tanah adat, kemerosotan mata pencarian, penyisihan politik dan sosial, jurang ekonomi dan pendidikan serta akses kepada perkhidmatan kesihatan, yang menjejaskan kesejahteraan mereka. Wanita Orang Asli mengalami pelbagai lapisan cabaran dan halangan ketika memperjuangkan hak mereka, dan selalunya, halangan ini terikat dengan identiti mereka sebagai wanita dan Orang Asli.

Melawan Norma Jantina

“Kami dituduh memperlekehkan peranan Tok Batin,” kata Yaliyana, yang juga dikenali sebagai Yana. Yana adalah seorang wanita Semelai berusia 30 tahun dari Kampung Batu Peti, Rompin, Negeri Sembilan. “Kami sedang menjalankan penggambaran filem apabila tuduhan ini disiarkan dan tular di Facebook. “Kami belum pun memulakan proses menyunting filem kami “Selai Kayu Yek” (Ladang Ubi Kayu ku), tetapi ada orang yang sudah memburukkan kami dan mengatakan kami melakukan perkara yang salah,” katanya.

“Sebagai wanita, terutamanya belia wanita, kemampuan kami sering dipersoalkan,” menurut Eliana, seorang wanita Jakun berusia 22 tahun yang berasal dari Kuala Rompin, Pahang.

Memperolehi restu daripada ahli keluarga adalah cabaran yang terbesar ketika wanita-wanita bermula kerana ia dilihat sebagai mencabar peranan lelaki sebagai pemimpin dalam keluarga. “Di dalam komuniti kami, lelaki dilihat mempunyai status yang lebih tinggi daripada wanita, dan mereka satu-satunya dianggap layak untuk menjadi pemimpin,” kata Eliana.

Apabila Eliana dan rakan-rakannya mula terlibat dalam aktivisme, seperti pembikinan filem, di mana mereka mula aktif menyuarakan hak dan isu Orang Asli, dia berkata bahawa mereka berdepan dengan bantahan daripada keluarga mereka. “Kami diberitahu bahawa kami tidak sepatutnya melakukannya, atau kami tidak boleh, atau kami mencari masalah.”

Menurut Yana, mengetahui bahawa ada orang yang percaya dengan usaha mereka adalah sinar harapan yang membuatkan mereka terus bertahan.

Menggunakan Media Untuk Meningkatkan Kesedaran

Walaupun menghadapi cabaran, wanita-wanita muda disebalik “Apa Kata Wanita Orang Asli”, satu kolektif wanita muda Orang Asli yang mana Yana dan Eliana merupakan ahli kolektif tersebut,telah berjaya menyelesaikan beberapa projek di bawah kendalian mereka. Selepas berkongsi tentang impak yang dicapai melalui filem mereka, mereka telah mendapat penghormatan daripada keluarga dan komuniti mereka.

Eliana menegaskan bahawa melalui penyertaan dalam bengkel anjuran Freedom Film Network dengan kerjasama pertubuhan akar umbi, seperti Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), yang telah memberi inspirasi kepada mereka untuk meningkatkan kesedaran tentang isu masyarakat Orang Asli. Di bengkel tersebut, mereka juga memperoleh kemahiran dalam penggambaran filem serta mempelajari tentang gender dan hak asasi manusia.

Eliana dan Yana bersama-sama meluahkan bahawa betapa kurangnya perwakilan masyarakat Orang Asli dalam media. Malah, ia agak sukar untuk menemui sebarang cerita tentang mereka di televisyen nasional.

Kumpulan wanita muda ini telah menghasilkan buku pertama mereka yang bertajuk “Kami Pun Ada Hak Bersekolah: Wanita Orang Asli Bersuara” (dilancarkan di Kuala Lumpur pada Februari 2019), sebuah karya antologi naratif atau cerita wanita dan gadis dari masyarakat Orang Asli tentang perjalanan pendidikan mereka, halangan yang telah mereka atasi, dan harapan untuk masa depan.

Mereka kini telah beralih kepada menghasilkan filem pendek. Sehingga kini, mereka telah menyiapkan tiga filem iaitu “Selai Kayu Yek” (Ladang Ubi Kayu ku), “Klinik Ku Hutan” (Hutan adalah Klinik ku) dan “Rahsia Rimba” (Rahsia Penjaga Hutan). Ketiga-tiga filem ini telah mendedahkan peminggiran Orang Asli yang berlaku dan semakin meningkat di tanah adat mereka sendiri. Kehilangan tempat dan kehilangan kuasa sebagai Orang Asli adalah hasil daripada pengasingan, pengambilan, rampasan dan pencerobohan tanah adat Orang Asli. Wanita Orang Asli, khususnya, menjadi semakin terdedah kepada bahaya akibat tekanan daripada kekurangan sumber dan kehilangan mata pencarian secara tradisional.

Menurut Eliana, yang juga Penyelaras Program Apa Kata Wanita Orang Asli, filem-filem ini membawa mesej yang sangat umum tentang masyarakat Orang Asli. “Isu kami terlalu mendalam,” katanya.

“Masalah kami, apabila diletakkan sebelah-menyebelah, adalah sangat serupa. Tidak kira sama ada kami berasal dari suku Semelai, suku Temiar atau suku Jakun. Kami mempunyai pengalaman yang sama” kata Yana sambil menjelaskan bahawa pemahaman isu berhubung kait ini membimbing penulisan skrip filem pendek itu.

Bagi memperkenalkan lagi identiti Orang Asli kepada khalayak ramai, kumpulan itu juga telah mencipta saluran YouTube, Apa Kata Wanita Orang Asli. Tujuan saluran YouTube ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat umum tentang kewujudan, identiti dan isu yang dihadapi Orang Asli, dengan mengetengahkan tradisi, budaya dan kehidupan masyarakat Orang Asli.

Eliana menekankan bahawa sebaik-baiknya cerita itu datang dari perspektif sebenar realiti hidup mereka, dan cerita itu harus datang dari masyarakat Orang Asli sendiri, dan bukannya dari perspektif dan andaian bukan-Orang Asli terhadap budaya Orang Asli kerana mereka tidak sedar, tahu atau memahami sepenuhnya isu yang dihadapi oleh Orang Asli.

Jika Bukan Kita, Siapa Lagi?

Semasa lawatan Yana ke Singapura baru-baru ini untuk mewakili Apa Kata Wanita Orang Asli di tayangan filem di FreedomFilmFest Singapura, dia menyedari betapa ramai orang dari luar masyarakat Orang Asli tidak menyedari kewujudan Orang Asli.

Bagaimanapun, dia berasa satu pemerkasaan apabila melihat impak filem-filem itu terhadap penonton. “Saya tidak menyangka apabila kami menayangkan filem-filem itu, sebahagian penonton terharu sehingga menitiskan air mata,” kata Yana.

Hasrat beliau untuk menggalakkan anak muda untuk memperjuangkan hak masyarakat Orang Asli dirangsang oleh pengalaman ini. “Walaupun kita berasal dari bangsa atau suku kaum yang berbeza, kita harus bersatu dan menyuarakan isu-isu tersebut.” Harapannya agar Orang Asli lebih berani bersuara.

“Kerana jika kita tidak melakukannya, siapa lagi yang akan mengetengahkan isu masyarakat kita sendiri?” dia bertanya.

Eliana mengiyakan pendapat Yana bahawa jumlah wanita Orang Asli yang bersuara masih tidak cukup.

“Saya berharap semua Orang Asli tidak kira umur akan mula aktif menggunakan media. Walaupun ia adalah satu hari biasa, rakam (dalam video) dan hantar ke media sosial supaya lebih ramai orang di luar masyarakat akan menyedari identiti dan budaya Orang Asli di Malaysia.”

“Sekiranya kita tidak bertindak sekarang, kita akan menunggu lagi lama untuk pihak berkuasa mengiktiraf isu kita, seperti hak tanah adat” tambah Eliana. “Perubahan yang saya mahu lihat ialah kita mampu menuntut hak kita, sama-rata dengan kaum lain“.

Berhubung dengan Apa Kata Wanita Orang Asli:

https://www.facebook.com/ApaKataWanitaOA

https://www.instagram.com/apakatawanitaoa/

https://www.tiktok.com/@apakatawanitaorangasli 

https://www.youtube.com/ApaKataOrangAsli

Sabrina Aripen ialah Pengerusi/Pengasas Society for Equality, Respect and Trust for All (SERATA), merancang, mentadbir dan menjalankan program dan kempen kesaksamaan jantina di Kota Kinabalu, Sabah, serta melibatkan lelaki untuk menghapuskan keganasan berasaskan jantina. Sabrina ialah mantan perunding pentadbiran untuk WITNESS Asia-Pasifik.

Gambar dari Apa Kata Orang Asli dan Freedom Film Network.

Diterbitkan pada 13 Oktober 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *